CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, January 21, 2009

Perjalananku dalam mencari sinar masih belum berhenti...hehe

Apabila diimbau kenangan semasa aku kanak-kanak, aku telah mempunyai banyak cita-cita dan impian. Seperti ‘angan-angan Mat Jenin’. Cita-citaku tinggi…lebih tinggi dari gunung tang tertinggi.. Cita-citaku besar…lebih besar daripada planet yang terbesar… Sejak kecil lagi aku menanam azam dan impian untuk menjadi manusia yang hebat…mungkin lebih hebat daripada watak-watak superhero yang ada sekarang. Aku ingin lebih hebat daripada Superman, Batman, Ultraman dan wira seangkatan dengannya. Maka, tidak hairanlah walaupun pada ketika itu aku masih berada dalam dunia kanak-kanak tetapi aku mempunyai impian yang besar untuk menjadi seorang doktor, arkitek, jurutera, peguam dan pilihan yang terakhir iaitu guru. Pada waktu itu mungkin aku terfikir begitu mustahil untuk aku merealisasikan cita-cita dan impianku itu kerana tidak sesuai dengan usiaku yang baru setahun jagung. Tetapi itulah yang akan aku beritahu jika sesiapa bertanya kepadaku termasuklah guru-guruku ketika di sekolah rendah. Namun apa yang aku peroleh sekarang adalah berkat usaha dan sasaran ‘moto’ hidupku iaitu ‘tiada perkara yang mustahil dilakukan jika kita berusaha bersungguh-sungguh’. Mungkin aku tidak sekuat superhero-superhero itu semua, tetapi sekarang aku hebat dan kuat sebagai diriku..

Walau bagaimanapun…kehebatan diriku sekarang ini bukan mudah ku peroleh..bukan mudah kucari…tetapi aku perolehinya dengan penuh cabaran dan rintangan sepanjang perjalanan menuju puncak untuk menjadi insan yang hebat. Aku tidak nafikan sebagai anak yang bongsu aku terlalu dimanjakan oleh emak, ayah, abang dan kakak. Bagiku…aku bersyukur kerana tidak mempunyai adik selepas aku..kerana jika tidak, aku tidak akan mendapat perhatian dan belaian manja seperti apa yang aku peroleh sebagai anak bongsu sekarang. Adik beradik aku yang lain boleh dikatakan semuanya berjaya dalam hidup dan cemerlang dalam pelajaran. Abangku yang sulung merupakan lulusan Institut Teknologi Mara (ITM) pada masa itu dan sekarang telah dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara. Selepas tamat pengajian, dia bekerja sebagai perancang bandar di sebuah syarikat swasta di ibu kota dan sekarang telah pun bersara dan melakukan kerja sendiri untuk berjinak-jinak menjadi usahawan dengan menceburkan diri dalam penanaman cendawan tiram yang berjaya di Terengganu. Manakala, abangku yang kedua pula merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia dalam jurusan Pendidikan Geografi dan Bahasa Melayu. Sekarang abangku itu mejadi pendidik di sekolah menengah di Terengganu. Kakakku juga mengikut jejak langkah abang-abangku yang lain iaitu berjaya ke menara gading. Kakakku merupakan lulusan Universiti Utara Malaysia dalam jurusan Pendidikan Perakaunan. Dan sekarang dia menjadi pendidik di sekolah menengah di Kedah. Selain itu, kakak dan abang iparku juga merupakan insan-insan yang berjaya dalam hidup. Antaranya ada yang menjadi arkitek dan pendidik. Jadi, aku sebagai adik mereka tumpang gembira dengan kejayaan yang mereka perolehi hasil usaha dan penat lelah dalam menuntut ilmu untuk menjadi manusia yang hebat. Oleh itu, benar dan terbuktilah menurut teori pemilihan kerjaya yang dipelopori oleh Ann Roe. Menurut beliau, personaliti dan klasifikasi pekerjaan adalah bertujuan untuk melihat hubungan semua bidang pekerjaan berkait rapat dengan latar belakang keluarga dan pengalaman serta layanan yang diberikan oleh ibu bapa. Maka tidak hairanlah apabila aku melihat kejayaan yang dicapai oleh abang dan kakakku berkait rapat dengan didikan dan layanan emak dan ayahku. Pengalaman awal aku semasa kanak-kanak di rumah merupakan asas kepada pembentukan personaliti dan sikap terhadap pemilihan kerjayaku. Walaupun aku tahu emak dan ayahku tidak berpendidikan tinggi, tetapi aku amat berbangga dengan mereka kerana berjaya mendidik dan mengasuh aku dan adik beradikku yang lain dengan cara yang paling berkesan sehingga membentuk anak-anak yang berkualiti. Menurut Ann Roe juga dalam gaya layanan penerimaan (acceptance) , aku dapat melihat adanya kemesraan dan kasih sayang serta kecenderungan emak dan ayahku dalam membantu anak-anak membuat pilihan dalam hidup, sentiasa memberikan pujian dan kebebasan yang munasabah kepada anak-anak untuk berjaya dalam hidup.

Oleh sebab itulah aku jadikan abang-abang dan kakakku sebagai idola untuk aku mengejar impian dan cita-citaku menjadi apa yang aku jadi sekarang. Bukan mudah untuk aku lakukan seorang diri jika tidak mendapat dorongan, kata-kata nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka sebagai orang yang telah ‘makan garam dahulu’ daripada aku. Aku akui mereka cukup tegas semasa memberi tunjuk ajar dan nasihat kepadaku sewaktu aku kecil dahulu.

Aku termenung sambil bermonolog seorang diri...untuk berjaya di dalam kerjaya atau apa sahaja yang aku lakukan dalam hidupku seharian aku perlu berusaha. Jadi usaha yang bagaimana?..Mestilah usaha yang aku lakukan itu secara berterusan atau konsisten kerana ia akan menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Aku mengeluh panjang sambil mataku liar melihat seeokor kucing yang sedang berusaha menangkap rama-rama yang terbang rendah. Ketika itu aku berfikir apalah yang membezakan aku dengan seekor kucing itu walaupun sama sebagai makhluk ciptaan Allah S.W.T.. Sebagai manusia aku telah diberi keistimewaan dan kelebihan yang tidak dapat ku nilai dengan panca inderaku iaitu akal berbanding kucing itu yang hanya mempunyai otak. Akal yang dikurniakan Allah inilah yang membolehkan aku membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.. Oleh itu, untuk menjadikan hari-hari yang bakal aku lalui selagi bernyawa sebagai khalifah di muka bumi Allah ini adalah dengan sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan dan mengubah sikapku yang sebelum ini malas belajar ke arah yang lebih positif iaitu rajin belajar.

0 comments: